ANAK TITIWANGSA - KERIS MAS

 

Pakcik Keris Mas membawakan penggarapan cerita untuk membawa pembaca memahami alur kehidupan seorang belia berisiko. Asal-usulnya, kesan-kesannya, perspektif masyarakat, diceritakan melalui cabaran seorang remaja, Sudin, mencari rakan sepermainannya; Karim - remaja Kampung Simpang Tiga yang telah hilang ke kota bersama duit ibunya.


Beruntunglah Sudin kerana setelah gagal Peperiksaannya, dibawa oleh Pak Samad ke kota, bagi dibaikpulih semula Sudin. Sudin dibawanya ke syarahan-syarahan, diasuh menjadi seorang yang berdisiplin. Meskipun watak Pak Samad sebagai seorang yang membosankan - kerjanya cuma membaca, menaip dan bersyarah - namun, lelaki yang membosankan itulah yang menyelamatkan Sudin daripada menjadi seorang penyangak. Sudin mengakui hakikat tersebut.


Manakala Karim, malang nasibnya, bapaknya tidak kisahkan dia. Begitu juga ibunya. Lantas dia membawa diri ke kota, mengikuti teman baiknya, bagi mencari duit. Masakan diminta ibu duit, sudah tentulah orang tua itu takkan memberi. Lantas, tanpa banyak cakap, dicurinya saja duit itu. Kan mudah? 


Tapi, langit tak selalu cerah. Sesampai di kota, harapan hanya tinggal harapan. Di kota, sebutkan saja jenayah apa, dia pernah buat. Tinggal belum membunuh orang. Mencuri, sudah ✅ Bertumbuk juga sudah ✅ Lalu saja kanak-kanak berantai emas, tidak senang duduk jadinya. Apa lagi? Ragut lah jawabnya!


Namun ada kala, terlintas juga di hatinya rasa keinsafan. Perlahan-lahan cuba mengundur diri daripada geng penyangak itu. Walaupun susah hakikatnya. 


Sudin pula, berbulan usaha pencariannya. Akhirnya ketemu juga, dengan bantuan Pak Samad, Malik dan "connection - connection" Malik. Malik pesan, kawan kena semua, jangan sedikit. Sudah kawan tu, mesti pula tahu dimana tempat tinggalnya. Hal ini kerana mereka itu wartawan, haruslah tahu semua benda. Setiap insan yang hadir, pasti bawa manfaatnya kepada kita. Tidak kira miskin, mahupun kaya. Kawan biar semua.


Maka berpeluklah Sudin dan Karim apabila berjumpa. Karim dibawa pulang ke Kampung bagi dibaikpulih dan ditiupkan semula nafas baharu ke dalam kehidupan Karim.


Namun, dalam novel ini, tidak dinyatakan pula pengakhiran hubungan Sudin dan Hanim. Kahwinkah mereka? Wallahua'lam.



Comments

Popular Posts